"Ramai lelaki membina rumah tetapi mereka memerlukan wanita untuk menjaganya"

Saturday 12 May 2012

Syarat menjadi wanita solehah yang dijamin masuk syurga


Wanita seringkali dianggap sebagai kaum yang lemah dan hina selain dianggap sebagai perosak dan racun dunia. Pandangan-pandangan terhadap wanita kadang kala ada benarnya terutama apabila melihat golongan wanita yang gemar mendedahkan aurat, berpeleseran ke tempat-tempat maksiat dan hiburan serta bergaul secara bebas dengan bukan muhrimnya.
Walaubagaimanapun, adalah sangat tidak adil jika pandangan negatif tersebut ditujukan kepada semua wanita sehingga menafikan peranan mereka yang tidak kurang pentingnya jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Wanita memiliki fungsi dan peranan yang besar khususnya dalam perkara berkaitan hal ehwal rumah tangga dan anak-anak. Sebagai contoh, seorang wanita memainkan peranan penting terhadap anak-anak bermula dari anak tersebut di dalam rahim sehingga ia menjadi dewasa. Hal ini menunjukkan bahawa peranan wanita bukanlah kecil kerana tanpa wanita tidak mungkin anak-anak dapat lahir seterusnya dibesarkan dengan bantuan oleh suami ataupun tidak.
Agama Islam yang mulia telah menggariskan beberapa tips atau cara bagi wanita solehah untuk mendapat jaminan masuk syurga yang serba indah dan penuh kenikmatan. Sekiranya semua wanita memenuhi kriteria wanita solehah, maka segala pandangan negatif terhadap wanita akan lenyap sendirinya. Wanita solehah merupakan wanita idaman yang sentiasa taat dan patut kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah an-Nisaa’ ayat 34 yang bermaksud: “Maka wanita-wanita solehah itu ialah wanita-wanita yang taat (kepada Allah) serta memelihara dirinya dikala suaminya tidak ada di sampingnya kerana Allah telah memelihara mereka.”


Berdasarkan ayat tersebut, terdapat beberapa syarat untuk menjadi wanita solehah yang mendapat jaminan syurga iaitu pertama, wanita yang taat kepada Allah s.w.t. Kedua, wanita yang memelihara kehormatan dirinya dan yang ketiga ialah wanita yang taat kepada suaminya.
Ketaatan kepada Allah s.w.t merupakan perkara wajib bagi setiap manusia yang mengaku dirinya sebagai Muslim dan Muslimat. Mentaati Allah bermaksud menunaikan segalah perintah dan menjauhi larangan-Nya. Wanita yang mentaati Allah akan sentiasa berasa takut untuk melakukan maksiat dan dosa. Dengan demikian, dia akan sentiasa melindungi dirinya dari segala bentuk kemaksiatan sama ada maksiat berbentuk pendedahan aurat atau penderhakaan kepada ibu bapa dan suami dan lain-lain lagi.
Wanita yang sanggup memelihara kehormatan dirinya pula bermaksud mereka menahan diri dari melakukan perbuatan keji dan mungkar. Memelihara kehormatan diri yang paling utama bagi wanita adalah dengan menghindarkan dirinya dari dilihat atau disentuh oleh lelaki yang bukan muhrimnya serta sentiasa menjaga aurat dari pandangan mereka. Hal ini sangat penting kerana dengan mengabaikan penjagaan aurat yakni mendedahkan aurat akan mendapat fitnah dunia dan mengundang segala bentuk kejahatan di samping mendapat seksaan daripada Allah s.w.t di akhirat kelak.
 Manakala wanita yang mentaati suaminya selagi mana suami tidak menyuruhnya melakukan perbuatan mungkar akan dapat masuk syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Apabila seorang wanita itu mendirikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya(Ramadhan), memelihara kemaluannya, dan mentaati suaminya, maka Malikat akan berkata kepadanya di akhirat, “Masuklah kamu ke dalam syurga dari arah manapun yang kamu sukai”,”. (Hadis riwayat Ahmad, Ibn Hibba dan dinyatakan sahih oleh al-Albani).
Walaubagaimanapun, sebagaimana yang diketahui, untuk memasuki syurga tidak mungkin tanpa melakukan pengorbanan. Namun, pengorbanan tersebut pasti mampu mampu dilakukan oleh setiap Muslimah yang mendambakan syurga Allah yang kekal abadi. Memang tidak mudah untuk menjadi wanita solehah, tetapi harus diingat bahawa siapa kita adalah kerana diri kita sendiri. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
10 sahabat Nabi yang dijamin masuk syurga

No comments:

Post a Comment