"Ramai lelaki membina rumah tetapi mereka memerlukan wanita untuk menjaganya"

Friday 11 May 2012

Neraka Jahannam buat umat "Jahiliyyah Moden"

Neraka Jahannam buat umat "Jahiliyyah Moden"

Bayi malang yang dibuang di tepi jalan
Bayi yang dibuang serta dibakar
Bayi yang dibuang di tempat pembuangan sampah
Bayi dibuang ke dalam tasik

malang...mayat bayi yang dibuang oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan


Dewasa ini, kes pembuangan bayi khususnya di Malaysia semakin menjadi-jadi. Jika dahulu kita melihat kes ini seolah-olah bermusim yang mengikut pemerhatian kerap kali terjadi kes ini pada bulan Julai, Ogos dan September. Walaubagaimanapun, ia kini terjadi hampir setiap hari.


Fenomena pembuangan bayi yang terjadi tidak ubah seperti zaman Jahiliyyah. Cuma perbezaannya adalah zaman "Jahiliyyah Moden" ini, bayi dibuang tanpa mengira jantina, sama ada lelaki ataupun perempuan. Sebaliknya, pada zaman Jahiliyyah yang dahulu, hanya bayi perempuan sahaja yang menjadi mangsa, iaitu ditanam hidup-hidup dengan alasan bahawa bayi perempuan hanya akan membawa malu dan musibah kepada keluarga.


Yang menghairankan, mengapa umat zaman ini kembali kepada tabiat zaman Jahiliyyah? Masyarakat Jahiliyyah melakukan perbuatan sedemikian ekoran kecetekan ilmu pengetahuan di samping ketiadaan rasul pada ketika itu. Namun, umat pada zaman ini berbeza sama sekali dengan mereka. Kita mempunyai Rasul,yakni nabi Muhammad s.a.w, kita mempunyai pendidikan yang secukupnya, mempunyai para ulama' dan cerdik pandai yang boleh dijadikan rujukan, memiliki kecanggihan teknologi yang mempunyai pelbagai manfaat jika digunakan dengan betul dan sebagainya. Jadi, tidak seharusnya kita berperangai seperti masyarakat Jahiliyyah.


Pada zaman ini, bayi tidak ditanam hidup-hidup, tetapi mereka dibuang ke dalam tandas, tong sampah, tasik, longkang, ditinggal di tangga masjid atau di hadapan rumah orang dan yang lebih memilukan ada bayi yang dibakar sehingga rentung. Apa dosa mereka diperlaku sedemikian rupa? Perbuatan yang disebut tadi sama seperti perbuatan membunuh dengan sengaja yang mana menurut hukum Allah, membunuh dengan sengaja wajib dikenakan qisas, yakni hukuman bunuh balas. Bayi tersebut berhak untuk hidup, namun mengapa ibu bapanya sendiri yang menafikan hak tersebut? Jadi, memang wajarlah jika ibu bapanya juga "ditarik" kembali hak untuk hidup itu.


Selain itu, Allah s.w.t juga telah memberi amaran keras kepada sesiapa yang membunuh dengan sengaja. Antara amaran tersebut (dipetik dari blog ust. Hassan Basri) iaitu, kekal di dalam neraka Jahannam yang mana mengikut pendapat jumhur ulama' tempoh masa di dalam neraka adalah panjang. Seterusnya, mereka juga akan dimurkai oleh Allah s.w.t di samping mendapat kutukan daripada Allah serta disediakan azab yang besar untuknya. Firman Allah s.w.t di dalam surah an-nisa’ : 93
“dan Barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya”. Nauzubillahi min zalik..


Jadi, sebagai umat Islam yang berilmu pengetahuan tinggi, marilah kita sama-sama menghindarkan diri dari melakukan segala perbuatan yang dilarang oleh Allah s.w.t kerana setiap janji-Nya adalah pasti.



                                                   punca masalah pembuangan bayi



No comments:

Post a Comment