"Ramai lelaki membina rumah tetapi mereka memerlukan wanita untuk menjaganya"

Monday 23 April 2012

Peribahasa Melayu


Bangsa melayu dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan. Ia kemudiannya terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Melayu Proto dan Melayu Deutro.
          Melayu Proto telah berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru iaitu 2500 sebelum masihi. Keturunan Melayu Proto adalah orang Asli di Semenanjung Malaysia, orang Dayak di Sarawak dan orang Batak di Sumatera.
          Melayu Deutro pula dipercayai telah berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam iaitu kira-kira 1500 sebelum masihi. Keturunan Melayu Deutro adalah orang Melayu di Malaysia.
          Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang pula dikatakan berasal daripada bahasa Austronesia ini. Bahasa tersebut termasuklah Bahasa Melayu yang kita gunakan dalam percakapan seharian.
          Generasi pada zaman dahulu juga bertutur dengan menggunakan Bahasa Melayu, namun mungkin terdapat sedikit perbezaan antara bahasa Melayu yang kita gunakan kini kerana mereka bertutur menggunakan Bahasa Melayu kuno.
          Generasi terdahulu banyak menggunakan elemen bahasa khususnya untuk membuat teguran, menyindir, memberi nasihat dan sebagainya. Hal ini menjadikan corak teguran mereka lebih lembut dan berhikmah. Mereka biasanya menegur atau menyindir dengan menggunakan bahasa kiasan yang digunakan juga pada dewasa ini dan dikenali sebagai peribahasa.
          Antara peribahasa-peribahasa Melayu yang mungkin jarang didengari adalah seperti berikut:


1) Adat muda menanggung  rindu, adat tua menahan ragam
     maksudnya: sesuatu perkara yang menimpa kita tanpa dapat dielak, haruslah diterima dengan     sabar dan tabah.
2) Ada kemenyan sebesar lutut, jika tidak dibakar tidak berbau
     maksudnya: sebanyak manapun ilmu yang ada, jika tidak digunakan untuk menunjuk ajar maka
                         tidak ada gunanya.
3) Adat diisi, tembaga dituang
     Maksudnya: dalam mengerjakan sesuatu hendaklah mengikut kebiasaan yang pernah dilakukan.
4) Anak baik, menantu molek
     maksudnya: seseorang yang beroleh keuntungan secara berganda-ganda.
5) Anak kucing menjadi harimau
     maksudnya: anak orang kebanyakan menjadi orang yang ternama.
6) Akar terumbai tempat siamang bergantung, dahan menganjur tempat tupai meniti
     maksudnya: keterangan-keterangan daripada orang yang bersalah itulah sendiri biasanya menjadi
                         alasan untuk menguatkan tuduhan ke atasnya.
7) Alim bagai katak di tepi air
     maksudnya: orang yang banyak ilmu tetapi dia sendiri tidak mendapat faedahnya.
8) Angin tak dapat ditangkap, asap tak dapat digenggam
     maksudnya: perkhabaran dan berita-berita angin itu tidaklah boleh dipercaya.
9) Ayam berlaga sekandang
     maksudnya: orang yang bergaduh adik-beradik.
10) Ayam putih terbang siang
     maksudnya: perkara yang terang dan nyata sehingga diketahui oleh semua orang.
       
          Peribahasa-peribahasa yang telah diciptakan jelas mengandungi makna tersirat yang mendalam dan amat berguna kepada generasi kini dan akan datang. Jadi, kita haruslah memeliharanya agar ia tak lekang dek panas dan takkan usang dek hujan.
( peribahasa-peribahasa di atas diambil dari kamus peribahasa Malaysia)

No comments:

Post a Comment