"Ramai lelaki membina rumah tetapi mereka memerlukan wanita untuk menjaganya"

Saturday 12 May 2012

Mimpi Rasulullah s.a.w sebelum Israk dan Mikraj



Peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w telah berlaku pada 27 Rejab pada tahun ke 12 selepas kenabian Baginda s.a.w. Israk dan Mikraj merupakan peristiwa penting yang disambut dan dirayakan oleh seluruh umat Islam pada setiap tahun. Tarikh tersebut bersamaan dengan tahun 662 Masihi iaitu ketika baginda berumur 25 tahun, yakni setahun sebelum Baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah.

Israk bermaksud perjalanan Nabi Muhammad s.a.w dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin dengan menunggang seekor binatang yang bernama Buraq. Manakala Mikraj pula bermaksud perjalanan Baginda s.a.w dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ke tujuh.

Pada malam sebelum diisrakkan, Baginda s.a.w telah bermimpi. Daripada Abdul Rahman bin samurah r.a berkata, bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam sebelum aku diisrakkan...”



Antara mimpi-mimpi yang telah dialami oleh Baginda Rasulullah s.a.w ialah, pertama, Baginda telah bermimpi melihat seorang daripada umatnya telah didatangi oleh Malaikat maut yakni Malaikat Izrail dalam keadaan yang amat menggerunkan untuk mengambil nyawanya.Walaubagaimanapun ia terhalang disebabkan oleh ketaatan dan kepatuhan umatnya itu kepada kedua ibu bapanya.

Mimpi yang kedua ialah Baginda melihat seorang daripada umatnya telah disediakan azab kubur yang amat menyeksakan. Walaubagaimanapun, ia telah terselamat dari azab tersebut kerana keberkatan wudhuknya yang sempurna.

Seterusnya, Baginda bermimpi melihat seorang daripada umatnya sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis laknatullah. Namun, ia telah terselamat kerana keberkatan zikirnya yang tulus ikhlas kepada Allah s.w.t.

Kemudian, Baginda telah bermimpi melihat bagaimana umatnya diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka Jahannam yang mana rantai tersebut dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan melalui duburnya oleh Malaikat. Namun, kerana solatnya yang khusyuk dan tidak menunjuk-nunjuk, maka dia telah terlepas dari seksaan tersebut.

Mimpi yang berikutnya ialah Baginda telah melihat umatnya ditimpa dahaga yang amat berat. Setiap kali dia pergi menghampiri sebuah telaga, dia akan dihalang dari meminumnya. Pada ketika itu, datanglah pahala puasanya yang ikhlas kepada Allah s.w.t yang memberinya minum sehingga ia merasa puas.

Selain itu, Baginda telah bermimpi melihat umatnya cuba untuk mendekati para nabi yang sedang duduk secara berkumpulan. Setiap kali dia datang kepada kumpulan para nabi, dia akan diusir. Kemudian, menjelmalah mandi junub yang telah dilakukannya dengan rukun yang sempurna sambil menuju ke kumpulan Baginda lalu duduk di sebelah Baginda.

Kemudian, Baginda telah bermimpi melihat seorang daripada umatnya berada dalam keadaan gelap gelita di sekelilingnya dan dia dalam kebingungan. Maka, datanglah pahala haji dan umrahnya yang ikhlas kepada Allah s.w.t yang kemudiannya mengeluarkannya dari kegelapan dan membawanya ke tempat yang terang-benderang.

Mimpi Baginda yang seterusnya ialah Baginda melihat umatnya cuba untuk berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidak membalas bicaranya. Ketika itu, menjelmalah sifat silaturrahimnya dan tidak suka bermusuh-musuhan sesama umat Baginda s.a.w lalu menyeru kepada golongan orang mukmin agar menyambut bicranya dan kemudian mereka berbicara dengannya.

Satu lagi mimpi yang telah Baginda alami ialah, Baginda melihat umatnya menepis-nepis percikan api ke mukanya. Pada ketika itu, menjelmalah sedekahnya yang ikhlas kerana Allah s.w.t lalu menutup muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut.

Selain daripada mimpi-mimpi tersebut, Baginda juga telah mengalami pembedahan dada atau perut oleh Malaikat. Hati Baginda s.a.w dicuci dengan air zamzam, dibuang ketulan hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Baginda s.a.w. Setelah itu, dada Baginda dijahit dan dimeterikan dengan “khatimun nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk Baginda tunggangi dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan Israk.





No comments:

Post a Comment