"Ramai lelaki membina rumah tetapi mereka memerlukan wanita untuk menjaganya"

Monday 7 May 2012

Fadilat Solat Sunat Dhuha..

Fadilat Solat Sunat Dhuha..
solat Dhuha boleh menolak kepapaan

         

Anak-anak juga perlu diajar agar mengerjakan solat sunat Dhuha

Solat Dhuha merupakan solat sunat yang dilakukan pada waktu pagi yakni pada waktu Dhuha, iaitu dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik. Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam.Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu. Ia merupakan salah satu solat sunat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

          Allah s.w.t telah berjanji akan memberi segala keperluan yang diperlukan di dunia ini sekiranya manusia menunaikan solat sunat Dhuha. Hal ini disebut di dalam hadis Qudsi, daripada Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. telah bersabda :
Allah telah berfirman:
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, nescaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.” (Riwayat Ahmad) 
           Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
 “Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
        Dua dalil di atas menunjukkan bahawa solat sunat Dhuha mempunyai fadilat yang tinggi. Antara fadilatnya yang lain termasuklah membuka pintu rezeki kepada hamba yang menunaikannya. Hal ini sebagaimana tercatat di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : 
Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”
      Fadilat yang seterusnya ialah dosa-dosa yang dilakukan boleh terampun sekiranya sentiasa menunaikan solat sunat Dhuha. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi).
       Selain itu, fadilat solat sunat Dhuha juga adalah Allah akan binakan sebuah mahligai buat hambaNya yang mengerjakan solat sunat Dhuha. Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai."
            Oleh itu, marilah kita bersama-sama merebut kesemua fadilat yang telah dijanjikan ini dengan mengerjakan solat sunat Dhuha sekurang-kurangnya dua rakaat setiap hari agar kita termasuk dalam golongan yang sentiasa dimurahkan rezeki. InsyaAllah.









No comments:

Post a Comment